Sabtu, 24 Desember 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Donald Trump kuat merajuk

Posted: 24 Dec 2011 06:04 AM PST

Dunia

Barack Obama (kiri) dan Donald Trump.

Barack Obama (kiri) dan Donald Trump.

Keluar parti Republikan terkilan dituduh guna debat promosi diri sendiri lima calon presiden enggan sertai bahas

WASHINGTON: Ahli perniagaan terkemuka dan personaliti realiti televisyen, Donald Trump, keluar daripada Parti Republikan, menukar pendaftaran undiannya kepada calon bebas di New York, dalam langkah yang dilihat memudahkan persaingan tiga penjuru pemilihan Presiden Amerika Syarikat tahun depan.

Tindakan Trump itu diumumkan 10 hari selepas hartawan hartanah itu mengumumkan membatalkan rancangan untuk menjadi pengacara perbahasan antara calon Presiden Parti Republikan dalam usaha melindungi kemungkinan bertanding sebagai calon bebas. Hanya dua calon bersetuju mengambil bahagian dalam forum yang dirancang Trump pada Selasa depan di Iowa.

"Trump sudah berkata sejak hampir setahun lalu jika dia tidak berminat dengan siapa yang menjadi calon Republikan, dia mungkin bertanding sebagai calon bebas.

"Tindakannya keluar parti bertujuan melindungi haknya untuk memutuskan hala tuju seterusnya selepas rancangan akhir program The Apprentice, Mei depan," kata jurucakapnya, Michael Cohen, lapor akhbar Los Angeles Times.

The Apprentice ialah rancangan pertandingan realiti televisyen yang dihoskan Trump. Pemilihan presiden Amerika Syarikat akan diadakan pada November 2012.
Trump dianggap ada niat bertanding merebut pencalonan Parti Republikan sebagai presiden. Dia juga dicemuh kerana menuduh Presiden Barack Obama, dari Parti Demokrat, mungkin tidak dilahirkan di Amerika.

Pada masa sama, Trump tidak pernah mengadakan kempen sebenar dan pengkritik menyifatkan usahanya dalam perkara itu hanya usaha mempromosi diri sendiri.

Calon yang enggan menyertai debat yang dikendalikan Trump termasuk bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney; bekas Gabenor Utah, Jon Huntsman; Gabenor Texas, Rick Perry serta ahli Kongres, Ron Paul dan Michele Bachmann.

Hanya bekas Speaker Kongres, Newt Gingrich dan bekas Senator, Rick Santorum bersetuju mengambil bahagian.

Apapun, Trump dianggap bukan penyokong setia Republikan kerana hanya menyertai parti itu pada 2009. Beliau lebih lama menjadi anggota Demokrat apabila mendaftar sebagai ahli pada 2001 sebelum mengubah angin.

Cohen juga berkata: "Suatu perkara yang pasti ialah Trump memang berazam supaya Obama tewas dalam persaingan 2012." – Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

Maliki akan arah tentera tindas Sunnah

Posted: 24 Dec 2011 05:58 AM PST

Dunia

IBU dan abang Fadil Ahmed, 31 menangisi kematiannya akibat serangan bom kereta di Bandar Najaf, selatan Baghdad ketika suasana politik Iraq semakin tegang antara pemimpin Syiah dan Sunnah.

IBU dan abang Fadil Ahmed, 31 menangisi kematiannya akibat serangan bom kereta di Bandar Najaf, selatan Baghdad ketika suasana politik Iraq semakin tegang antara pemimpin Syiah dan Sunnah.

Naib Presiden Iraq percaya mereka bakal tidak dapat keadilan di bawah pemimpin Syiah

BAGHDAD: Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi, menuduh Perdana Menteri, Nuri al-Maliki, melancarkan kempen menentang penduduk Sunnah supaya negara itu terjebak ke dalam kancah perang berasaskan mazhab.

Al-Hashemi, seorang Sunnah mengemukakan pandangannya selepas dikehendaki atas dakwaan menubuhkan skuad pembunuh di negara itu dan diarah tangkap oleh Maliki, seorang Syiah. Dalam temubual semalam, al-Hashemi, menuduh Maliki mahu menghapuskan semua pesaing politik dan membolot kuasa.

"Jelas, beliau akan memberi tumpuan kepada masyarakat Sunnah kerana mereka adalah komuniti Tariq al-Hashemi. Jadi, mereka akan menderita," katanya.
Beliau juga berkata, etnik lain dalam masyarakat Iraq mungkin akan menjadi sasaran pada masa depan, tetapi sekarang giliran Sunnah.

"Beliau cuba meningkatkan ketegangan, menjadikan kehidupan amat sukar untuk wilayah dan penduduk Sunnah. Beliau tidak percaya kepada tolak ansur. Beliau tidak percaya kepada penyelesaian secara aman semua masalah. Dia akan guna tentera Iraq dan pasukan keselamatan untuk terus menindas," katanya.
Kenyataan oleh tokoh politik tertinggi Sunnah mencerminkan ketegangan yang semakin memuncak antara pengikut mazhab antara beliau dan Maliki yang menimbulkan kebimbangan Iraq akan terjebak dalam keganasan baru berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat.

Krisis politik mengundang kemarahan yang masih kekal di negara itu di sebalik usaha bertahun-tahun untuk mengatasinya, dengan majoriti golongan Sunnah bimbang puak majoriti Syiah menolak mereka daripada sebarang jawatan politik selain mengesyaki puak Sunnah ada kaitan dengan keganasan.

"Beliau mencari bencana dan saya tidak yakin apa akan berlaku selepas ini," kata al-Hashemi mengenai Maliki selain turut menafikan tuduhan ke atasnya.

Al-Hashemi bercakap kepada AP di rumah tetamu Presiden Jalal Talabani di kawasan pergunungan berdepan dengan bandar raya Kurdis di Sulaimaniyah, 260 kilometer ke timur laut Baghdad.

Beliau tiba di situ Ahad lalu dengan bagasi kecil dan dua pasang pakaian untuk membincangkan konflik yang semakin tegang dengan kerajaan Maliki.

Bagaimanapun, apa yang sepatutnya menjadi lawatan dua hari berpanjangan hampir seminggu selepas kerajaan Iraq Isnin lalu mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Dia enggan kembali ke Baghdad kerana percaya tidak akan mendapat perbicaraan adil. Pasukan keselamatan kerajaan pusat tidak beroperasi di zon autonomi Kurdis yang menjadikan al-Hashemi selamat daripada ditangkap di situ.

Parti Iraqiya sudah lama memberi amaran Maliki cuba membolot kuasa kerana lebih setahun selepas kerajaan dibentuk tetapi Perdana Menteri itu masih belum melantik menteri tetap untuk mengetuai Kementerian Pertahanan atau Kementerian Dalam Negeri. – AP

Full content generated by Get Full RSS.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar