Kosmo Online - Dunia |
- Rakyat Mesir keluar mengundi
- Angka kematian tragedi jambatan runtuh meningkat
- Miley Cyrus mengaku hisap ganja
Posted: Rakyat Mesir keluar mengundi
KAHERAH, Mesir - Beribu-ribu orang beratur di luar pusat-pusat mengundi di sini semalam untuk membuang undi dalam pilihan raya Parlimen pertama yang diadakan di Mesir sejak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan pada Februari lalu. Orang ramai berbaris di beberapa buah pusat mengundi di sini dengan kasut mereka bersalut lumpur selepas hujan turun semalam. Banyak pusat mengundi lewat dibuka kerana pelbagai masalah pentadbiran termasuk kekurangan kertas undi. Di sekolah Omar Makram, pusat bandar raya ini, pengundi lelaki dan wanita beratur secara berasingan seawal pukul 8 pagi waktu tempatan untuk mengundi. "Sebelum ini proses mengundi tidak memberi apa-apa makna kerana suara kami tidak diperlukan," kata seorang wanita, Mona Abdel Moneim yang kali pertama mengundi seumur hidupnya. Di daerah Zamalek di sini, orang ramai beratur selama beberapa jam. Malah, ada yang membawa kerusi untuk berehat sementara menanti pos mengundi dibuka. "Saya tidak sihat dan tidak bercadang untuk datang pada mulanya. Namun, apa yang berlaku baru-baru ini menimbulkan semangat untuk saya mengundi. Sudah cukup untuk kami berdiam diri selama 30 tahun," kata seorang wanita berusia 65 tahun, Samira. Sementara itu, kumpulan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir yang menjadi lokasi pertempuran antara orang ramai dengan polis memilih untuk terus tinggal di dataran itu sehingga pemerintahan tentera ditamatkan. Beberapa ketua penunjuk perasaan tersebut memberitahu, mereka sangsi pihak tentera akan mengembalikan kuasa kepada rakyat walaupun selepas pilihan raya diadakan. Setakat tengah hari semalam, proses pilihan raya berjalan dengan aman dan lancar selepas pasukan tentera dan polis dikerah berkawal di sekitar pusat-pusat membuang undi di negara berkenaan. Pilihan raya kali ini diadakan untuk memilih ahli-ahli Parlimen Mesir. Sekitar 17 juta daripada 85 juta rakyat Mesir layak mengundi dalam fasa pertama selama dua hari bagi memilih ahli Dewan Rendah Parlimen Mesir yang akan berakhir pada 11 Januari depan. - Agensi Full content generated by Get Full RSS. | |
Angka kematian tragedi jambatan runtuh meningkat Posted: Angka kematian tragedi jambatan runtuh meningkatSEBUAH bot (kiri) melintas Jambatan Kutai Kartanegara yang runtuh di bandar Samarinda, Kalimantan Timur pada Sabtu lepas.- AFP TENGGARONG, Indonesia - Angka kematian akibat jambatan runtuh di Kalimantan Timur yang menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan terjunam ke dalam sungai kini meningkat kepada 11 orang, kata beberapa pegawai semalam ketika siasatan bagi mengenal pasti punca nahas sedang dilakukan. Lebih 30 orang dipercayai masih hilang selepas jambatan gantung Kutai Kartanegara sepanjang 720 meter yang dibina menyerupai jambatan Golden Gate di San Francisco runtuh ke dalam Sungai Mahakam pada Sabtu lepas. "Jumlah mangsa yang terbunuh ialah 11 orang," kata ketua agensi pencari dan penyelamat wilayah Kalimantan Timur, Harmoni Adi. Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, mayat-mayat mangsa terdampar di tebing sungai berkenaan. "Sebanyak 39 orang cedera dan berdasarkan laporan orang ramai, sekurang-kurangnya 33 yang lain hilang," katanya. "Sukar untuk mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang hilang kerana kami tidak tahu bilangan kenderaan dan orang ramai yang jatuh semasa jambatan itu runtuh," ujarnya. Menurutnya, usaha mencari juga sukar berikutan keadaan air sungai yang keruh. Sungai Mahakam memiliki kedalaman hingga 40 meter. Punca jambatan itu runtuh tidak dapat dipastikan tetapi Nugroho memberitahu bahawa satu kabel sokongan jambatan itu putus semasa kerja-kerja membaiki sedang dilakukan. Jambatan berkenaan siap pada tahun 2002. - AFP Full content generated by Get Full RSS. | |
Miley Cyrus mengaku hisap ganja Posted: Miley Cyrus mengaku hisap ganjaLOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Bintang remaja, Miley Cyrus membuat pengakuan mengejutkan pada parti hari jadinya yang ke-19 minggu lalu, lapor akhbar MailOnline kelmarin. Di hadapan sejumlah tetamu, Cyrus mengaku dia 'kaki lalok' semasa dihadiahkan sebiji kek yang dihiasi imej legenda muzik reggae, Bob Marley. Majlis berkenaan dihoskan oleh rakannya, Kelly Osbourne, 27, di Hotel Roosevelt di sini pada Selasa lepas. "Anda tahu anda 'kaki lalok' apabila rakan-rakan anda menghadiahkan kek Bob Marley buat anda," kata Cyrus. "Ia membuatkan anda sedar bahawa anda menghisap terlalu banyak ganja," tambahnya. Klip video berkenaan diperoleh akhbar MailOnline. Namun, Osbourne kemudian menulis di akaun Twitternya bahawa pengakuan tersebut cuma satu jenaka. "Bagaimana dia (Cyrus) boleh bekerja keras sehingga berjaya jika dia seorang penagih ganja dan 'kaki lalok'," kata Osbourne dalam komen di akaun Twitternya. Cyrus melonjak popular selepas membintangi siri komedi terbitan Walt Disney, Hannah Montana. Bob Marley merupakan penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu irama rege dari Jamaica. Dia menghisap ganja kerana mengamalkan ajaran agama yang dianuti penduduk Jamaica dikenali sebagai Rastafarian.- Agensi Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tidak ada komentar:
Posting Komentar